Monday, October 11, 2010

Periksa

Minggu depan antara 19-21 oktober budak-budak akan mengikuti peperiksaan.
Saya risau kerana soalan belum siap. Risau juga memikirkan apakah didikan saya memberi kesan positif atau tidak. Saya berusaha dan selebihnya tawakkal!

Ragam

Seperti biasa Ehsan tak bawa buku lagi. Tidak mahu keadaan berlarutan saya belikan buku tulis dan arahkan dia menyalin tugas di whiteboard. Nampaknya Ehsan amat menghargai pemberian saya sehingga naik pening saya mengangguk dan mengiakan kerana setiap perkataan yang ditulis dia akan datang mengunjuk kepada saya supaya saya sahkan.

Hari tu, Ustazah Murni memarahi pelajar saya kerana suka sangat main sepak-sepak botol(menggantikan bola). Baik sahaja budak-budak ini menurut arahan. Mereka duduk didepan pintu pejabat. Apabila ustazah Murni kalih ke arah lain Harraz memandang saya dan berkata perlahan "Ustazah.... nak main bola!!!!"

saya: "!!!!!!!!!!!!!:))))))"

panas dan sakit perut

Selepas waktu rehat saya menyemak resit-resit bayaran yuran sebelum memulakan kelas. tiba-tiba "ustazah, Harraz punya hidung keluar darah banyak, baju dia kena darah" Atikah Safanah mengadu.

Sangka saya sedikit sahaja darahnya, cemas juga melihat budak-budak masing-masing serbu ke bilik air dengan sifat ingin tahu mereka.

Memang banyak darahnya. Budak-budak, sakitnya memanglah tidak tetapi darah mengalir tidak berhenti. Harraz Adha Putra pula mungkin rimas kerana menyanagka hidung berair padahal darah yang keluar dan dia asyik mengesat hidungnya dengan hujung lengan baju.

Saya mengarahkan pelajar masuk ke kelas masing-masing dan secara tenang merawat apa yang patut. Legalah sedikit saya kerana selepas itu kurang seorang calon tak reti duduk diam dalam kelas.

Tidak lama selepas itu datang Ustazah Muazah memberi tahu ada budak terberak dekat bilik air. Naik stress saya melihat Nabil Hakim kaku dihadapan pintu bilik air tidak berseluar dan dekat karpet situ ada pula najis berterabur. Sekali lagi saya beroperasi dibilik air dengan seluarnya yang tercemar. Sangka saya habis disitu tetapi mata saya menangkap keadaan bilik air sebelah yang nampak kelainan.Saya sebenarnya agak lega kerana bukan giliran saya menyuci bilik air hari ini. Saya tolak pintu bilik air kerana ingin memastikan apakah kelainan yang menarik perhatian saya.

Huargh!!! Pengsan saya dibuatnya jika saya fikirkan sangat. Rupanya bukan sekadar seluar ngan karpet tercemar tetapi kat dalam bilik air pun dia terbuat kerja juga. Rasa bersalah pula kalau buat tak tahu sedangkan dia anak murid saya lalu secara ringkas saya mengambil alih kerja mencuci yang diberi oleh anak murid saya ni. Mungkin dengan cara ini dia nak luahkan kasih sayangnya pada saya.

Takpalah sayang! Ustazah terima.

Sunday, October 10, 2010

Saya tak nak keluar rehat!

Satu jam pertama kelas Pra selalunya saya semak bacaan iqra' murid-murid saya. Kadang kala naik pening juga kepala nak habiskan semua 18 murid. Saya hanya menyambung modul guru terdahulu. Ada yang kata menjalankan bacaan secara berkumpulan tetapi saya memilih menyemak sorang-sorang. Teruja melihat sebutan makhraj huruf semakin baik dari hari ke hari. Yang lemah saya sebolehnya lebihkan perhatian.

Tetapi masalah timbul apabila yang sedang menunggu giliran atau yang dah habis giliran mengisi masa mereka dengan aktiviti sendiri yang agak mengganggu konsentrasi kawan-kawan yang sedang membaca. saya mencari jalan mengatasinya dengan memberi kerja seperti menyalin subjek selepasnya di whiteboard dan ada juga yang saya tugaskan membaca zikir tertentu sementara mengisi masa yang ada.

Satu hari saya agak stress kerana ada 2-3 pelajar yang seakan mencari peluang tidak mahu membaca. Lalu saya arahkan kalau tak baca Iqra' jangan keluar rehat.

Harraz Adha Putra tiba-tiba menjawab " Ustazah! saya taknak keluar rehat sebab saya tak bawa duit...!!"

Saya: ????????????????????

Saturday, October 9, 2010

Hari Bergembira-Jamuan Hari Raya

Baru-baru ini diadakan Jamuan Hari raya di SRA tempat saya mengajar. Mulanya agak pening sajian apa yang hendak saya sediakan. Mulanya saya bercadang membuat soto tetapi suami menyarankan goreng bihun sahaja kerana makanan ini agak digemari kanak-kanak.

Dua jam terakhir sebelum kelas bermula saya mendapat idea apabila melalui kawasan Bandar Tun Razak yang menempatkan Ramly Burger. Melihat produk, saya yakin saya tidak lagi keliru untuk menyediakan menu mudah dan digemari golongan kecil ini.

Sampai di sekolah saya membuka bekal yang dibawa pelajar-pelajar saya. Ada kek coklat,kek lapis dan kek krim. Juadah lain seperti nuget, mee goreng, biskut raya dan pelbagai lagi. Puas hati saya apabila melihat budak-budak teruja melihat hidangan yang saya bawa seperti sosej coctail,roti sosej, ayam goreng ala kfc, mashed potato dan sedikit juadah kuewteow goreng.

Seperti biasa anak-anak kecil ini memakai baju raya. Aktiviti pemelajaran diselitkan dengan bacaan Iqra' dan selebihnya ialah bermain dan bermain.

Sukanya hati saya apabila melayani mereka ketika sesi makan. Tetapi saya agak cerewet ketika mereka memilih makanan. Mahukan makanan yang teratur dan tidak bercampur kerana dikhuatiri sakit perut pula. Bukan menyekat makan tetapi biarlah makannya berselang seli dan serasi dengan perut pada satu-satu ketika.

Alhamdulillah jamuan ini akhirnya dapat dikongsi dengan kelas lain malah ramai juga daripada senior dan guru-guru lain yang enjoy mengikuti jamuan raya kelas PRA SRA an Nur Tun Hussein Onn.

Saturday, October 2, 2010

YIP

Tadi minyak kereta saya kehabisan di belakang Jaya Jusco Balakong. Sebelum ni tak pernah terjadi di Kuala Lumpur ni. Saya teringat untuk menghubungi kawan lama saya yang berkerja di Proton Edar tidak jauh dari sini. Kawan saya ini sedang menuju ke Petaling Jaya kerana urusan kerja tetapi berpatah balik semata-mata memenuhi permintaan saya yang di dalam kesusahan.

Tidak sampai setengah jam dia sampai. Bersusah payah dia mencari botol untuk dijadikan paiping saluran ke tangki minyak kereta saya.Dia sekadar mengambil modal minyak walaupun saya menawarkan lebih.

Kawan saya ini saya kenali sepuluh tahun dahulu dan dia berbangsa cina. Dia tidak lokek ilmu dan tidak pernah jemu menghubungi saya saban tahun.

Dengan pertolongannya tadi saya berasa amat terhutang budi,cuma saya yang kurang memberi komitmen kepada persahabatan ini kerana komitmen saya terhadap suami memerlukan saya perlu menjaga hatinya dari setiap sudut walaupun hubungan persahabatan.

Kadangkala saya berasa apalah salahnya kalau saya memperpanjangkan persahabatan ini dengan ahli keluarga saya yang lain termasuk suami. Mungkin akan difikirkan!