Sunday, July 25, 2010

Masa kita.... Jangan Libatkan Orang Kedua


Masa tidak akan menunggu kita....
Jika kita mempunyai perancangan sebaiknya laksanakan di awal pagi, otak kita akan bergerak untuk mencari job sebanyak yang mungkin sebagai memanfaatkan masa dengan mencari peluang bekerja dan bekerja...money and money.


Bergerak secara bersendirian banyak keistimewaannya seperti memberi:
  • kebebasan berfikir
  • kebebasan masa
  • kebebasan bergerak
  • tidak terikat dengan orang lain
  • kebebasan membuat keputusan
  • memberi ruang mengoptimumkan kerja



Tetapi keadaan akan jadi sebaliknya apabila kita terpaksa mengikut kehendak orang lain. Kemungkinan kerja kita tidak akan menjadi. Kita pula akan frust apabila apa yang kita rancang tidak mengikut standart yang kita inginkan.

Tersungkur yang akan Bangun Kembali.



Saya tersungkur ketika memasang angan-angan untuk membesarkan perniagaan. Sayang pengurusan yang tidak tersusun, kurang pemantauan dan jarak tempat berniaga yang jauh membuatkan saya kecundang. Mujur modal kami tidak besar dan tidak berhutang sana sini ketika mula-mula berniaga dahulu.

Saya juga menyalahkan diri saya kerana meletakkan kepercayaan 100% kepada orang lain untuk memantau pergerakan perniagaan. Ketepatan masa keluar masuk bekerja juga nampaknya banyak lompong sana sini.

Saya selalu tidak bernasib baik dalam memilih lokasi. Pernah Ramadhan 2008 saya menempah ruang niaga di Semabok untuk berniaga sehingga menjelang malam raya. Malangnya kegopohan saya membuat keputusan dan mengkaji lokasi mengundang kekecewaan apabila saya kerugian dan kami(saya dan peniaga berniaga di tempat yang langsung tidak mendapat sambutan daripada orang ramai).Begitu juga di Kota Fesyen, lokasi yang sejuk juga mematahkan semangat pekerja saya untuk menjaga tapak niaga(walaupun saya masih punya kekuatan untuk itu).

Dalam banyak-banyak keadaan saya banyak bertolak ansur. Lebih-lebih lagi orang yang ingin saya tegur adalah keluarga sendiri maka saya banyak berdiplomasi. Saya lebih memikirkan hati pekerja ketika menegur kerana jika mereka mengambil hati dan mogok maka saya tiada siapa yang hendak diharapkan. Akhirnya sikap saya memakan diri kembali.

Suami memberi sokongan modal tetapi saya yang menjalankan. Perbezaan pendapat sering mendongkolkan hati saya. Saya tidak bebas sekehendak hati saya dalam memutuskan keputusan sehingga susun atur barang-barang pun boleh menjadi isu.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk pulih daripada semangat. Ada juga saya di desak suami mencari peluang dan tempat berniaga tetapi hati saya separuh-separuh. Saya memberi alasan modal, suami membantah(mungkin dia tidak serik invest dengan saya sekali lagi). Saya memberi alasan sewa tapak mahal, pun saya di asak untuk mencari tempat. Sebenarnya saya memang akan berniaga kembali dan akan melakukan dalam keadaan keyakinan datang serta mempunyai persediaan mental dan fizikal. Saya tidak mahu 100% bergantung harap pada modal modal yang dikeluarkan suami ,sebolehnya biarlah modal saya mencari sendiri kerana saya mahu mencorakkan sendiri perniagaan saya seadanya. Biarlah keputusan hitam atau putih jika saya mempunyai pekerja saya yang mengaturkan semuanya. Jika suami memberi pandangan saya akan pertimbangkan tetapi kerana saya bertanggungjawab menentukan jatuh bangun perniagaan kelak, keputusan biarlah ditangan saya.

Jangan salah faham, saya bukan mahu mendabik dada atau berbangga diri tetapi banyak kali jatuh memberi banyak pengajaran kepada saya. Lagipun ini cita-cita saya dari dahulu lagi. Saya tidak memiliki kepakaran duduk dipejabat menanti arahan dan menunggu masa pulang kerja. Lagipun dengan berniaga saya berharap saya boleh menjana pendapatan tanpa had dan membuat amal kebajikan jika berkesempatan. Saya memandang adik beradik, saudara mara dan lebih-lebih lagi mak dan ayah memerlukan saya untuk membela nasib mereka.

saya tidak boleh menunggu terlalu lama setelah tersungkur untuk bangun kembali.

* bold: ialah antara punca-punca kegagalan saya.

Saturday, July 24, 2010

Skali lagi!



Mula kembali untuk menuju ke destinasi baru....
Target di hadapan....
Kumpul modal...
belajar dari kesilapan.

Saturday, July 17, 2010

Menjalin Kemesraan


Sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba perumahan tempat saya menetap(buat masa sekarang) khusus lorong 3 telah mengadakan kenduri/jamuan pada siang tadi.

Bermula pukul 8 pagi kami telah berkumpul untuk bergotong royong menyediakan sarapan pagi dan lauk pauk tambahan di samping tempahan katering. Suami juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga walaupun dia agak pemalu orangnya.

Bersyukur kerana sebelum ini saya telah tinggal bersama mertua dan sering mengikutinya ke majlis kenduri kendara dan tahulah serba sedikit untuk menawarkan bantuan.Jadi kata orang tidaklah macam kera sumbang atau kekok untuk membawa diri.

Kejiranan saya majoritinya terdiri daripada orang utara dan sudah tentu telonya atau loghat yang dibawa berbunyi keutaraan. Pada saya inilah peluang melepaskan gian bertutur dengan lidah utara saya. Al maklumlah kalau di rumah dengan suami sekadar mengikut loghat Melaka.

Di dalam majlis pada hari ini saya banyak memainkan peranan sebagai jurugambar. Merakam gambar bergerak (video). Agak terhibur juga disulami gelak ketawa. Saya menganggap merakam kenangan ini untuk dikongsikan bersama adalah sebagai momentum untuk mengeratkan ukhwah. Saya akan menggesa suami saya untuk memindahkan memori ini didalam cd dah menghadiahkan kepada jiran-jiran untuk tatapan bersama.

Sayang disini saya belum pakar untuk memasukkan video didalam blog. Sekeping gambar menceritakan aktiviti kami siang tadi:)

Wednesday, July 14, 2010

Kuala Lumpur 101 Tarikan untuk Peniaga

Pernah tak dengar Kuala Lumpur ni Lubuk duit? Lubuk duit macamana tu?

Ketika menetap di Melaka saya yang pernah berniaga secara kecil-kecilan selalu mendapatkan bekalan barang-barang borong di Kuala Lumpur. Pada mulanya saya memang excited setiap kali tiba masa naik ke Kuala Lumpur. Tidak sabar rasanya melihat barang-barang baru semestinya tudung-tudung dengan fesyen terkini, mahu rambang mata jadinya.

Bila 2 ke 3 kali naik dan seterusnya saya mula cuak kerana terasa penatnya nak menapak, lagi terpaksa mengangkut barang kiri kanan tangan ni, dan lagi terpaksa turun naik bas. Seharian di Kuala Lumpur membuatkan saya benar-benar kepenatan. Di waktu itulah terfikir ruginya sesiapa yang tinggal di ibukota ini tetapi tidak memanfaatkan kemudahan yang ada terutamanya peniaga.

Rupanya saya suami isteri terpaksa menyahut seruan berpindah ke Kuala Lumpur kerana rezeki suami dinaikkan pangkat. Dalam masa yang sama saya seperti biasa meneruskan perniagaan walaupun mengalami kesukaran tetapi saya puas kerana mudah saya mencari barang dan memantau fesyen-fesyen terkini saban minggu.

Puas juga saya menapak kedai ke kedai mencari tudung fesyen terkini. Pada permulaannya saya akan masuk kesetiap kedai untuk mencari keistimewaan dari segi harga dan kelainan tudung. Jika hendak dikira jenis ada lebih kurang 10 hingga 20 jenis tudung stok baru yang sampai dalam masa satu hari. Dalam satu minggu pada anggaran saya akan sampai dalam 3 atau 4 kali stok-stok baru dari pemborong utama atau tukang jahit bagi pihak kedai.

Peniaga-peniaga di Masjid India ini pula terdiri daripada orang Melayu,Turkey, China,Minang, Pakistan dan Indonesia. Manakala pekerjanya pula terdiri daripada Melayu,pakistan, Bangla dan Indonesia.

Siapa sangka seorang pemborong utama yang bernama Ishak berasal daripada Tanah Besar China dan berkahwin dengan wanita Melayu Melaka adalah usahawan gigih yang pernah saya jumpa pada tahun 2002-2003. Ketika itu Ishak menyewa tapak kaki lima tepi jalan di Giant Melawati. Kebetulan ketika itu saya juga mengikuti promosi oleh pihak syarikat selama satu bulan dan lebih. Ishak ketika saya lihat seorang peniaga yang gigih walaupun kekurangan pelanggan. Sifat tabahnya yang tidak kenal erti jemu dapat saya lihat melalui raut wajahnya yang sabar menanti hingga lewat malam walaupun kadangkala ada riak kecewa kerana kekurangan pelanggan. Ishak ketika itu menjual pelbagai jenis barangan seperti frame air terjun yang mempunyai lampu, frame ayat-ayat AlQuran dan pelbagai barangan cenderamata lain.

Melihatkan keadaanya ketika itu saya dan suami(ketika itu belum berkahwin) pernah melahirkan rasa kasihan sesama kami. Terasa kesusahan berniaga. Saya yang ketika itu bekerja dibahagian jualan pun kadangkala menerima situasi yang sama.

Ketika membeli belah di City One Utama bersebelahan Semua House di Masjid India saya terserempak dengan Ishak setelah sekian lama. Rupanya Allah telah membalas jerih payahnya selama ini dengan habuan yang cukup baik sebagai saudagar tudung,kopiah,jubah, tasbeh dan sebagainya. Apa yang saya tahu pemborong-pemborong di Masjid India juga mendapatkan bekalan daripada Ishak untuk dijual secara borong kepada peniaga-peniaga yang datang dari seluruh Malaysia.

Pengajaran yang saya dapat disini Jika kita melihat seseorang itu bekerja keras dan kita kasihan melihatnya, Allah lebih-lebih lagi kasihankan kita.

Begitulah halnya saudara Ishak yang merantau dari tanah besar yang melalui 1001 macam dugaan sehingga Allah memberi dia ganjaran atas usahanya.

Sebenarnya entry ini saya nak cerita tentang lokasi-lokasi borong di Kuala Lumpur. Takpalah! saya akan sambung kemudian apabila berkesempatan.

Segar Mata


Jom jamu mata sekejap!

Tuesday, July 13, 2010

Pengenalan Zarazakaria.blogspot.com

Dalam hidup ini ada banyak perancangan dan kemahuan. Tetapi tidak semua mampu kita penuhi.

Untuk mencapai kehendak dan cita-cita, tiada jalan mudah. Saya menghadapi saat getir di dalam hidup pada masa sekarang dimana semangat saya luntur kerana gagal dalam perniagaan. Sumber kewangan saya merosot sama sekali. Semangat saya jatuh, saya tiada keyakinan diri. Saya menolak tawaran kerjaya yang menjamin hidup saya tetapi saya menolaknya kerana saya mahu fokus cita-cita saya sebagai usahanita.

Hari ini, sebelum datanghari ini dan hari esok telah saya ingatkan diri saya supaya tidak mengalah. Saya mungkin terpaksa berpatah balik ke jalan yang pernah saya tempuhi untuk mengumpul modal dan membina kembali kegagalan masa lalu.

Dengan doa dan harapan saya mahu mengangkat situasi sekarang sebagai cabaran kepada diri saya supaya mampu saya membina kejayaan hari kemudian.

Dan http://zarazakaria.blogspot.com sebagai saksi perjalanan saya seterusnya!