Saturday, July 17, 2010

Menjalin Kemesraan


Sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba perumahan tempat saya menetap(buat masa sekarang) khusus lorong 3 telah mengadakan kenduri/jamuan pada siang tadi.

Bermula pukul 8 pagi kami telah berkumpul untuk bergotong royong menyediakan sarapan pagi dan lauk pauk tambahan di samping tempahan katering. Suami juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga walaupun dia agak pemalu orangnya.

Bersyukur kerana sebelum ini saya telah tinggal bersama mertua dan sering mengikutinya ke majlis kenduri kendara dan tahulah serba sedikit untuk menawarkan bantuan.Jadi kata orang tidaklah macam kera sumbang atau kekok untuk membawa diri.

Kejiranan saya majoritinya terdiri daripada orang utara dan sudah tentu telonya atau loghat yang dibawa berbunyi keutaraan. Pada saya inilah peluang melepaskan gian bertutur dengan lidah utara saya. Al maklumlah kalau di rumah dengan suami sekadar mengikut loghat Melaka.

Di dalam majlis pada hari ini saya banyak memainkan peranan sebagai jurugambar. Merakam gambar bergerak (video). Agak terhibur juga disulami gelak ketawa. Saya menganggap merakam kenangan ini untuk dikongsikan bersama adalah sebagai momentum untuk mengeratkan ukhwah. Saya akan menggesa suami saya untuk memindahkan memori ini didalam cd dah menghadiahkan kepada jiran-jiran untuk tatapan bersama.

Sayang disini saya belum pakar untuk memasukkan video didalam blog. Sekeping gambar menceritakan aktiviti kami siang tadi:)

No comments:

Post a Comment